BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Popular Posts

Friday 19 August 2011

Spesies berkualiti, unik cecah harga ratusan ringgit


SUATU ketika dulu, pemeliharaan ikan hiasan dianggap sekadar hobi buat peminatnya yang biasanya menempatkan ikan hiasan seperti ikan emas, kelisa dan ‘flower horn’ di dalam akuarium yang dihias cantik di sudut rumah.
Kini, semakin ramai peminat ikan hiasan beralih kepada pemeliharaan ikan pelaga yang bukan saja berwarna-warni, malah mempunyai daya tarikan tersendiri khususnya di bahagian ekornya yang kelihatan seperti `kepak’, seolah-olah bertindak sebagai perisai bagi menangkis serangan musuh.
Dua jenis ikan pelaga yang banyak dijual di kedai akuarium di negara ini ialah pelaga tempatan (Betta bellica) dan pelaga Siam (Betta splendens) yang dibezakan menerusi bentuk ekornya yang mana pelaga tempatan ekornya pendek, manakala pelaga Siam berekor panjang terurai.
Kecantikan ikan pelaga ini dikatakan terserlah ketika ia berlaga, khususnya ikan jantan yang badannya bertukar warna menjadi warna biru gelap berkilat sehingga mengasyikkan sesiapa yang melihatnya.
Berikutan permintaan yang tinggi terhadap ikan pelaga, banyak penyelidikan dilakukan agensi berkaitan termasuk pengusaha yang membuat proses kacukan spesies ikan terbabit bagi mendapatkan baka yang lebih cantik yang mana ia mampu dijual dengan harga lebih mahal.
Seorang penternak ikan pelaga dari Kota Bharu, Kelantan, Zulkifli Yusoff, 48, yang 15 tahun berpengalaman mengusahakan ikan hiasan, berkata empat kategori ikan pelaga yang popular di negara ini ketika ini ialah tembaga, `half moon`, `crown tail` dan `plaket`.
Beliau mengakui, ternakan ikan pelaga mampu memberi pulangan lumayan sehingga melebihi empat angka setiap bulan berikutan minat di kalangan orang ramai semakin berkembang sehingga ada peminat sanggup menghabiskan ribuan ringgit bagi memelihara puluhan ekor ikan terbabit.
“Ternakan ikan pelaga ini memang memberi pulangan lumayan kerana walaupun bersaiz kecil, harga seekor ikan boleh mencecah antara RM300 hingga RM400 jika jenis ikan terbabit sukar ditemui, khususnya dari jenis tembaga yang popular di Kelantan.
“Harga ikan pelaga bergantung kepada warna dan ekor, semakin besar ekornya, maka harganya lebih mahal. Untuk menghasilkan ikan yang cantik, penternak mesti pandai mengacuk jenis ikan terbabit,” katanya yang menjual ikan pelaga di pasar pagi dan malam sekitar Kota Bharu.
Zulkifli berkata, bagi peminat ikan pelaga, penjagaannya tidak memerlukan kepakaran dan tidak membabitkan kos yang tinggi kerana ia hanya perlu diberi makan jentik-jentik yang mudah didapati di kawasan takungan air bersemak atau cacing bersaiz kecil.
Seorang lagi pengusaha ikan pelaga di Kota Bharu, Abdul Razak Mohd Ali, 43, berkata permintaan yang tinggi terhadap ikan pelaga yang menjadi hobi baru di kalangan rakyat Kelantan menyebabkan beliau terpaksa mendapatkan bekalan benih ikan terbabit dari Perak dan Pulau Pinang.
Beliau yang pernah membantu bapanya menjual kain di pasar malam sekitar Kota Bharu pada pertengahan 1990-an sebelum menceburi perusahaan ikan hiasan berkata, ikan pelaga yang dijualnya berharga antara RM2 hingga RM40 seekor, tetapi boleh mencecah sehingga ratusan ringgit jika ikan berkenaan mempunyai keunikan tersendiri.
“Secara purata, setiap bulan saya menjual lebih 500 ikan pelaga pelbagai jenis yang dijual di rumah serta pasar minggu di Wakaf Che Yeh sambil dibantu dua anak lelaki saya. Alhamdulillah, hasilnya cukup lumayan,” katanya.
Abdul Razak berkata, ikan pelaga jantan lebih agresif serta mempunyai bentuk badan yang lebih
kecil, tirus dan berwarna terang, manakala induk betina berbadan besar, berperut buncit serta berwarna pucat.
Keunikan ikan pelaga ini bukan saja menarik minat golongan dewasa, malah wanita dan kanak-kanak turut memeliharanya sebagai hobi sehingga sanggup menghabiskan ratusan ringgit semata-mata bagi memenuhi minat yang mendalam terhadap spesies berkenaan.
Di Kelantan, ada di kalangan penduduk kampung yang meminati spesies ikan terbabit menghabiskan masa senggang dengan berkumpul di kedai kopi bagi mempamerkan kecantikan ikan pelaga masing-masing sambil berbincang mengenai penjagaan ikan berkenaan.
Murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Kem Pengkalan Chepa, Mohd Amirul Azlan, 7, berkata beliau memelihara 10 ekor ikan pelaga di rumah sebagai hobi pada masa lapang kerana begitu tertarik dengan kecantikan serta keunikan ikan hiasan terbabit.
“Semua ikan pelaga itu saya jaga sendiri, bagi makan sendiri, tidur pun dengan ikan pelaga. Ayah yang belikan ikan ini sebab saya hendak pelihara di rumah.
“Saya seronok bela ikan pelaga, kawan-kawan di sekitar rumah juga minat memelihara ikan pelaga. Minat ini timbul ketika berumur empat tahun lagi. Ingat nak tambah koleksi, tapi tak ada duit,” katanya.
Mohd Amirul adalah antara lebih 500 penggemar ikan pelaga yang menyertai Pameran Ikan Hiasan Betta Peringkat Kelantan yang diadakan di Pasir Mas, baru-baru ini. Kanak-kanak itu memperagakan empat ikan hiasannya untuk dipamerkan pada program berkenaan.
Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Abdullah Jaafar, berkata pihaknya bercadang memperluaskan pertandingan ikan hiasan jenis Betta atau pelaga ke seluruh negeri memandangkan ia semakin diminati di kalangan peminat ikan hiasan.
Beliau berkata, dalam usaha menggalakkan pengeluaran ikan hiasan di kalangan pengusaha tempatan, pihaknya sedia membantu memberi latihan dan khidmat nasihat kepada sesiapa yang berminat, khususnya dari segi penghasilan baka.
“Kita berhasrat menjadikan Kelantan sebagai pengeluar utama ikan hiasan jenis Betta di negara ini kerana ia semakin diminati termasuk di negara jiran. Malah, harga ikan pelaga ini sudah meningkat, dulu seekor cuma 50 sen, sekarang dah mencecah ratusan ringgit,” katanya.

0 comments: